Friday, Aug 29th

Kemaskini terakhir: 07:28:20 AM GMT

Anda Di Sini: Terkini

Terkini

Pemansuhan ISA: Langkah Awal Menuju Negara Adil, Sejahtera dan Berlandaskan Islam?

1. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menerima baik pengumuman YAB Perdana Menteri untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan Akta Buang Negeri 1959 serta menamatkan penguatkuasaan tiga proklamasi darurat; juga hasrat untuk mengkaji semula secara komprehensif Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta seksyen 27 Akta Polis 1967.

2. IKRAM yang meletakkan Islam sebagai asas perjuangannya menentang akta-akta yang bertentangan dengan prinsip-prinsip keadilan Islam.

3. IKRAM mengambil maklum tentang pengiktirafan Kerajaan bahawa akta-akta yang mengongkong ini akan menjejaskan pertumbuhan sebuah negara yang maju dan bertamadun.

4. IKRAM juga mengambil maklum akan rujukan Perdana Menteri kepada Maqasid Syariah yang berobjektif melindungi lima perkara utama: agama, nyawa, akal, keturunan dan maruah serta harta benda serta prinsip Usul Fiqh berkaitan menyekat lebih awal sesuatu kemungkaran,ketika menjustifikasikan tahanan pencegahan yang dicadangkan. IKRAM ingin menegaskan bahawa penggunaan prinsip-prinsip ini hendaklah bertepatan dengan tuntutan syariat.

5. Pada masa yang sama IKRAM amat gusar terhadap cadangan mewujudkan dua akta baru bagi menangani keganasan dengan cadangan untuk terus mengekalkan kuasa menteri dan mengetepikan badan kehakiman dalam menentukan pelanjutan penahanan kerana ia seolah-olah masih mengekalkan semangat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk tahan tanpa bicara dan masih membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa oleh pihak eksekutif.

6. Dengan ini IKRAM menggesa agar:

a) Semua yang diumumkan oleh Perdana Menteri dilaksanakan segera dan diselesaikan sebelum pembubaran Parlimen,

b) Kerajaan hendaklah merujuk kepada Maqasid Syariah dan Usul Fiqh berdasarkan prinsip dan kefahaman yang betul seperti yang dituntut oleh Islam dalam segala langkah yang akan dilakukan kerana ia pasti akan membawa keadilan dan kesejahteraan kepada rakyat dan negara,

c) Undang-undang anti keganasan yang ingin digubal hendaklah merujuk kepada pandangan para ulama Islam yang muktabar serta pengamal undang-undang yang berwibawa agar ia memenuhi tuntutan keadilan Islam dan sejagat. Rujukan dan perundingan dengan NGO, badan peguam dan pihak-pihak yang berkepentingan hendaklah dilakukan.

d) Ruang dakwah dan usaha amar makruf nahi mungkar harus dibuka seluas-luasnya termasuk media massa agar usaha membangunkan rakyat yang berilmu dan berakhlak mulia dapat berkembang dengan baik. Sehubungan dengan itu semua undang-undang yang menyekat hak dan kebebasan rakyat seperti Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Universiti Dan Kolej Universiti (AUKU) hendaklah juga dikaji semula secara komprehensif.

e) Jemaah Menteri, pihak polis dan agensi-agensi penguatkuasaan serta seluruh agensi kerajaan bersikap konsisten dengan usaha untuk mewujudkan sebuah negara yang adil dan bertamadun.

Semoga usaha kita untuk mewujudkan negara yang adil dan sejahtera dan diredhai Allah swt akan menjadi kenyataan.


Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad

Presiden
Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM)
16 September 2011

 

sumber:IKRAM Pusat

Sumbangan Bermakna, IKRAM dan IRM Berusaha

Seremban - Ramadhan pastinya merupakan antara bulan yang paling dirindui kehadirannya dan pasti menggamit naluri dan perasaan insan yang menginginkan kebaikkan dan rahmat dari Rabb Si-Pencipta. Namun tidak semua insan mampu mengharungi bulan yang penuh keberkatan ini dengan kelengkapan dan keperluan yang secukupnya. Di atas dasar itulah Islamic Relief Malaysia dengan kerjasama Pertubuhan Ikram (IKRAM) Negeri Sembilan berganding bahu menyalurkan sumbangan kepada individu mahupun keluarga yang dikenalpasti amat memerlukan bantuan.

Sejajar dengan petikan hadith “Tidak beriman orang yang tidur semalaman dalam kekenyangan, sementara jirannya tidak boleh tidur kerana kelaparan dan dia mengetahuinya.” (Hadith riwayat Al Bazzar), IKRAM Negeri Sembilan telah mengorak inisiatif mengenalpasti lebih 180 keluarga yang akan diberikan bantuan dalam bentuk barangan keperluan dan sumbangan duit raya.


Sumbangan telahpun bermula bagi Daerah Seremban pada 20 Ogos lalu di mana kira-kira sebanyak 30 keluarga telah menerima pun sumbangan. Proses penyerahan sumbangan ini juga diteruskan di daerah Nilai, Kuala Pilah dan Port Dickson.

Sumbangan di Nilai

Majlis penyampaian sumbangan Ramadan kepada anak-yatim dan keluarga miskin tajaan Islamic Relief malaysia (IRM) Malaysia telah diadakan di Masjid Nilai dengan kerjasama Pertubuhan IKRAM Malaysia Daerah Nilai dan AJK Masjid Kariah Nilai. Seramai 30 orang penerima sumbangan berserta AJk Masjid dan AJK IKRAM Nilai telah memeriahkan majlis tersebut. Majlis turut dihadiri oleh YDP IKRAM NS, PM Hj Badlishah Sham Baharin. Selain pek sumbangan, pihak masjid turut menghadiahkan duit raya kepada para penerima sumbangan. Dalam ucapan alu-aluannya, Yang Berbahagia Datuk Wazir selaku nazir masjid memuji usaha pihak IKRAM mengadakan majlis seumpama tersebut dan berharap ia akan diteruskan pada masa-masa akan datang. Majlis diakhiri dengan jamuan berbuka puasa di kantin dan dewan masjid. Majlis tersebut telah dapat mengeratkan hubungan di antara AJK IKRAM Nilai dan pihak masjid serta masyarakat yang terdiri dari penerima sumbangan. Walaupun sumbangan yang diberikan tidaklah besar, di harap majlis yang ringkas tersebut memberi makna kepada penerima sumbangan bahawa mereka tidak dilupakan.
Sumbangan di Port Dickson

Kira-kira 20 keluarga telah menerima sumbangan Ramadhan kali ini. Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, namun diharapkan agar ianya sedikit sebanyak mampu menggembirakan mereka di kala Syawal yang bakal menjelang.
Sumbangan di Sekolah Rendah Islam As-Sai'diyyah (SRIAS)

Sumbangan di SRIAS tertumpu kepada guru-guru dan anak murid yang serba kekurangan. Penerima sumbangan sungguh bertuah kerana berpeluang bersua muka dengan Pengarah Negara Islamic Relief Malaysia (IRM) yang turut menyampaikan sendiri sumbangan kepada mereka.

Semoga madrasah Ramadhan ini mendidik jiwa lebih mengambil berat terhadap kesusahan orang lain, bekerjasama dan kuat menguatkan di antara anggota masyarakat, bersifat prihatin, suka membantu tanpa mengharapkan sesuatu balasan dan sebagainya.

” Setiap Mukmin bagi mukmin lain seperti bangunan, di mana bahagian yang satu memperkukuhkan bahagian lain “

Kesedaran Perihal Hari Al-Quds Sedunia di Masjid Negeri

Seremban - Sambutan memperingati Hari Al-Quds Sedunia (HAQS) telah berjaya dilangsungkan dengan kerjasama Masjid Negeri, Seremban pada 21 Ogos bersamaan 21 Ramadhan 1432 Hijrah. Program ini merupakan kesinambungan daripada program pelancaran tabung Ramadhan Palestin yang telah dilancarkan oleh Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor pada 24 Julai yang lalu di mana ianya bertujuan untuk mengumpulkan dana bagi membiayai projek-projek Aqsa Syarif di Palestin.

Program HAQS bermula seawal jam 5 petang dengan acara pameran dan jualan. Disamping bunting dan barang-barang jualan Aqsa Syarif, tayangan video kekejaman Zionis di ruang legar masjid ternyata menarik perhatian pengunjung yang singgah solat di sana.Sesi penerangan ringkas oleh aktivis berkenaan dengan projek-projek yang dilaksanakan oleh Aqsa Syarif membantu memberi gambaran yang jelas kepada pengunjung akan usaha-usaha terkini yang sedang berlangsung di sana.

Program berhenti sebentar bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah. Tayangan video Palestin-WAFRAH yang memaparkan kesengsaraan hidup rakyat Palestin sambil diselang- selikan dengan sesi penerangan lanjut oleh Pengurus Aqsa Syarif Negeri Sembilan, Tuan Haji Shamsuri Abdullah mengambil tempat sejurus selesai solat Maghrib. Solat Isyak dan Tarawikh pada malam tersebut telah diimamkan oleh Syeikh Solah yang juga turut memanjatkan doa buat Masjidil Aqsa di dalam doa qunut membuatkan hadirin terkesan dan sebak.

Ceramah khas bersempena HAQS telah disampaikan oleh Ustaz Hasanuddin dengan penuh semangat dan ternyata memukau hadirin yang setia menunggu. Kupasan terperinci peristiwa dan perkongsian pengalaman disamping tazkirah yang diselit sepanjang ceramah memberikan suatu dimensi baru tentang perjuangan sebenar membebaskan Palestin dan Masjidil Aqsa.

“Adalah diharapkan agar kita dapat menggunakan kesempatan 10 malam yang terakhir Ramadhan ini yang Allah kurniakan kepada kita dengan mendekatkan diri kepadaNYA disamping memperbanyakkan doa buat saudara kita di Palestin” pesan beliau lagi.

Majlis ditutup dengan acara penyampaian sijil penghargaan dan cenderahati kepada semua penyumbang . Sebanyak 10 buah masjid, 9 buah surau, 7 buah institusi pendidikan dan 3 buah institusi awam dan swasta telah terlibat dalam kempen tabung Ramadhan Palestin kali ini dengan jumlah terkumpul sebanyak RM 48,019.35. Semoga isu perjuangan membebaskanMasjidil Aqsa dan Palestin ini disahut baik oleh masyarakat di Negeri Sembilan sehinggalah ianya dibebaskan.

IKRAM dan Muslim Reverts Association Beriftar Sambil Menyantuni Saudara Baru

Rahang- Satu program berbuka puasa Ramadhan yang melibatkan kerjasama antara Jawatankuasa Dakwah IKRAM Negeri Sembilan dengan Muslim Reverts Association (MRA) telah berlangsung di Pusat Kegiatan Saudara Baru, Rahang pada 20 Ogos bersamaan 20 ramadhan 1432 Hijrah yang lepas. Program ini bertujuan untuk meraikan saudara baru disamping mengeratkan ikatan persaudaraan antara muslim dan non-muslim yang juga turut serta pada majis kali ini.

Majlis bermula seawal jam 6 petang dengan sesi tazkirah di ruang solat utama sebelum pengunjung bersiap sedia untuk berbuka puasadi khemah yang telah disediakan. Pelbagai juadah istimewa telah disediakan khusus untuk tetamu jemputan seramai lebih dari 200 orang. Selesai berbuka, para hadirin kembali berpusu ke ruang solat utama untuk solat Maghrib berjemaah sebelum mengisi masa dengan amalan sunat sementara menanti solat isyak dan solat tarawikh.

Majlis bersurai kira-kira jam 10.30 malam selepas sesi bergambar bersama.



Majlis Iftar IKRAM Bersama Masyarakat

Seremban – Majlis Iftar anjuran IKRAM Negeri Sembilan telah berlangsung pada 13 Ogos 2011 bertempat di Sekolah Rendah Islam As-Sai’diyyah, Taman Rashidah Utama. Majlis bermula pada jam 6.30 petang dengan sesi tazkirah ringkas oleh Ustaz Abd Rahim Yusof yang juga merupakan YDP IKRAM Daerah Kuala Pilah sebelum ucapan perasmian oleh Yang Di-Pertua IKRAM Negeri Sembilan, Prof Madya Dr Badlishah Sham Baharin.

Majlis ini diadakan sebagai salah satu platform Pertubuhan IKRAM dalam mendekati dan menyantuni masyarakat sekitar disamping memberikan bantuan kepada keluarga-keluarga yang dikenalpasti kurang berkemampuan. Penyampaian bantuan berupa barangan keperluan harian oleh Prof Madya Dr Badlishah Sham diharap mampu meringankan bebanan keluarga yang terbabit sekaligus memberi mereka ruang dan masa untuk beribadat sempena Ramadhan yang mulia ini. Majlis berakhir dengan acara berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah di surau SRIAS.


Muka 10 dari 18